Arti Cinta Dari Filem

Posted on
  • by
  • in
  • Label:

  • Gambar Hiasan: Filem 'Wake Up Sid'
    Cinta bukan terhad kepada hubungan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Terdapat juga cinta terhadap persahabatan, ibu bapa dan jalinan-jalinan lain yang sukar diuraikan. Hmm, semua orang sudah tahu itu. Klise!

    Pada bulan Mei lalu, GUA tempah awal-awal dengan emak hendak menonton filem Hindi ‘Wake up Sid’. Sebenarnya GUA dah tonton filem ni dulu tapi belum puas. Plot menarik disamping sudut atau 'angle' menawan membuatkan mata terpukau mahu terus menonton. Maaf bukan kerana hero dan heroinnya. Dua-dua belum sangat-sangat dikenali di Malaysia.

    Apa yang menarik perhatian GUA adalah mesej hendak disampaikan. Dialognya pula sangat berkesan tanpa ada klise atau masih meminjam dialog era filem Melayu 80-an dan 90-an. Sangat natural kala mengupas isu cinta, kasih dan sayang. Perhubungan tiga hala digarap sangat berkesan - cinta anak kepada ibu, bapa, sahabat dan kekasih.

    Tema ceritanya mudah dan banyak filem lain turut mula mengambil subjek sama. Cuma cara penyampaian serta susunan plot terkadang membeza-bezakannya. Percayalah, 'Wake Up Sid' mampu membuat minda rancak berfikir mengenai erti perasaan. Watak utama pun tak perlu cantik jelita tetapi begitu dekat dengan penonton.

    Terdapat beberapa jalinan hubungan dan cinta yang GUA rasa begitu besar pengajarannya. Malah mampu dikupas dan dijadikan taulan hidup. Kenyataan hidup kadangkala terpesong dengan impian dijiwa. Percayalah…

    Sid vs Rishi/LaxmiKerana terbiasa dengan kehidupan mewah, Sid mulai malas belajar dan gagal dalam peperiksaan buat kesekian kalinya. Sedangkan teman-temannya Rishi dan Laxmi mulai maju ke depan. Kerana emosi melampau dan berasa ketinggalan, Sid menjauhi teman-temannya. Terutama dengan Rishi apabila berlaku perselisihan di antara kedua-duanya. Keterikatan persahabatan mereka tidak tamat disitu, rajuk Sid tidak berpanjangan. Jalinan persahabatan pastinya mencipta pelbagai kenangan dan emosi. Ibarat carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua.

    Sid vs IbuSid memiliki seorang ibu mengasih dan sering mengambil berat kepada dirinya. Hanya dia berasakan ibunya sangat merimaskan. Apabila kita tinggal berasingan dan berjauhan, perasaan rindu akan muncul semula jadinya tanpa ditahan-tahan. Percayalah, perasaan seorang ibu lebih lagi merindui kita. Dalam jiwa mereka penuh rasa kasih dan sayang tidak berbelah bahagi. Sakit bagaimanapun, ibu tetap ibu yang akan memaafkan anaknya. Melihatkan hubungan mesra seorang ibu dan anak lelaki berusia Sembilan tahun di kejiranannya, hati jadi sebal merindui ibu tercinta.

    Sid vs BapaTerkadang tanpa disedari kita sering meninggikan suara kepada kedua-dua orang tua kita. Apabila Sid merendah-rendahkan pelajaran ibunya, bapa Sid masuk campur. Mungkin terlalu dimanjakan, seorang anak akan memandang remeh pada kehidupan. Rumusannya, sang bapa akan lebih tegas membimbing anak. Apabila disingkirkan, mesti si anak baru hendak belajar berdikari. Disangkakan dunia luar begitu mudah dilalui tanpa memikirkan akibat bakal terjadi.

    Akhirnya, Sid belajar hidup berdikari dengan menjadi jurugambar. Percaya atau tidak kebolehannya itu adalah diwarisi daripada bapanya yang kerap merakamkan gambarnya sejak kecil. Rahsia itu dibongkar si ibu yang membuka kembali kenangan lama. Lembaran foto-foto menjadi saksi betapa cinta seorang bapa terhadap anaknya. Keadaan itu telah membuka mata si anak lebih menghargai seorang insan bergelar bapa.

    Sid vs AishaRuang selesa sebagai sahabat bertukar menjadi bibit cinta. Oh, masing-masing tidak pasti mengenai itu. Aisha menganggap Sid masih kebudak-budakkan lalu mereka kekal sebagai sahabat. Apabila Sid di dalam kesusahan, Aisha pasti membantu. Masing-masing mula keluar temu janji dengan lelaki dan wanita berbeza.

    Sid berteman dengan Tanya manakala Aisha berseronok dengan Kabir, lelaki idamannya. Apabila mereka tinggal sebumbung (sedikit bukan budaya kita untuk ditiru) barulah banyak tembelang pecah. Perkara ini biasa terjadi bagi mereka yang berada dialam rumah tangga. Seorang pengemas, seorang pula tukang selerak rumah. Tetapi ternyata mereka saling mempelajari dan memperbaiki diri.

    Aisha vs KabirAisha tidak dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup urban Kabir lelaki idamannya. Lelaki itu menyukai muzik Jazz manakala dirinya gemarkan lagu klasik Hindi. Malah Kabir menganggap Aisha gadis belum matang. Karma kembali kepada dirinya. Bukankah dia juga melabelkan Sid juga sebagai keanak-anakkan. Setelah beberapa temu janji, akhirnya Aisha lebih percaya kepada naluri hatinya. Kadang-kadang kita lebih selesa menjadi diri sendiri. Mungkin dia lelaki idaman kamu tetapi apalah gunakan jikalau kamu perlu hidup berpura-pura. Sementelah melihat Sid mula mesra dengan Tanya, maka muncul rasa cemburu. Cemburu bukankah tandanya sayang.

    Sid vs TanyaTanya lebih cantik hendak dibandingkan Aisha. Begitupun tatkala melihat keselesaan Sid bersama Aisha, Tanya kalah sama sekali. Kadang-kadang rupa paras bukan sebagai kayu pengukur untuk kamu menambat hati seseorang. Apa yang penting adalah keindahan di dalam hati naruni. Keterikatan dua jiwa menempuh susah dan senang telah melupuskan keindahan luaran semata-mata. Cantik di hati adalah penawar segala duka dan ubat kebahagiaan.

    Sid pada mulanya terkeliru dengan isyarat diberikan Aisha. Semestinya sebagai lelaki dia bebas untuk keluar dengan sesiapa jua dirasakan selesa. Dia juga tidak sekali-kali menunjukkan rasa jengkel apabila Aisha keluar bersama Kabir. Lebih-lebih lagi dia bukannya faham dengan permainan alam. Lelaki sememangnya bendul kadang-kadang kerana sukar menelah perasaan wanita sehingga diketuk dengan senduk barulah terjaga.

    Benar, filem adalah hiburan buat insan sejagat tetapi disebalik kisah dihidangkan ada terselit jua tauladan buat penonton. Tetapi bukan semua pengisian bermutu tinggi dan menyentuh hati. GUA terpanggil menulis kisah Sid kerana keletahnya itu begitu lazim di dalam kehidupan sekeliling kita.

    Seorang anak yang alpa dengan ibu bapa. Seorang sahabat yang kurang peka dengan kesukaran sahabatnya sendiri. Seorang individu yang memiliki cinta platonik sukar mendalami isi perasaan sendiri. Juga seorang kekasih yang kurang prihatin terhadap pasangannya.

    Sumber :http://www.gua.com


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...